Isnin, 3 Mei 2010

Al-Quran Dan Keluarga Bahagia


Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi kita SAW adalah contoh teladan yang baik untuk dijadikan contoh kepada ciri-ciri keluarga bahagia. Firman Allah SWT :

QS 33:21.
Kamu ada satu teladan yang baik pada rasul Allah bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan Hari Akhir, dan mengingati Allah dengan banyak.

Ayat tersebut menjelaskan bahawa mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan balasan yang baik di akhirat nanti disamping mereka tergolong dari kalangan mereka yang banyak
mengingati Allah, maka bagi mereka contoh ikutan yang terbaik ialah diri Rasulullah SAW. Ini jelas membawa makna bahawa sekiranya kita ingin menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini dengan penuh rasa kebahagian dan menikmati penghidupan di akhirat dengan kebahagian, maka kita hendaklah mencontohi diri Baginda SAW dalam apa jua bidang, tanpa berpilih-pilih dan cuba mencontohi yang mana kita rasa bersesuaian dengan diri kita sahaja.

Mempelajari, mengkaji seterusnya mengamalkan bagaimana Baginda menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini sebagai jambatan untuk menempuh penghidupan yang kekal abadi di
akhirat nanti. Maksudnya kebahagiaan di dunia ini berhubung kait dengan kebahagiaan di akhirat nanti. Ini sekaligus menyanggah pendapat mereka yang hanya mementingkan
kebahagiaan hidup di dunia semata-mata tanpa mengambil kira kebahagiaan hidup di akhirat. Demikian pula halnya pendapat yang hanya mengutamakan kebahagaiaan hidup di akhirat
semata-mata lalu memandang sepi kebahagiaan hidup di dunia ini.

Apabila seseorang itu mempunyai tahap, maqam atau martabat keislaman, keimanan dan ketaqwaan yang rendah, ia sudah tentu tidak dapat menerima konsep kebahagiaan yang
dijalani oleh Nabi SAW yang memperjuangkan hidup dalam taraf kemiskinan dari segi material. Tetapi mereka yang mempunyai tingkat keimanan dan ketakwaan yang tinggi, tidak akan menjadikan material sebagai kayu pengukur kepada makna kebahagiaan itu. Semakin tinggi tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang itu maka semakin jelas baginya bahawa
kebahagiaan yang hakiki itu adalah sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga Khulafaur Rasyidin, yang rata-rata melihat kebahagiaan itu berpaksikan keimanan dan
ketakwaan yang tinggi, atau dengan kata lain menilai kebahagiaan itu dengan rohani, jasmani dan akal yang sihat tanpa ada mengidap apa-apa penyakit.

Hanya mereka yang benar-benar sihat keseluruhan tiga aspek tadi sahaja yang merasa kebahagiaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu sebagai kebahagian yang hakiki. Al-
Quran pula mahu semua manusia amnya dan umat Islam khasnya memilih kehidupan berumah tangga yang bahagia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Ini jelas apabila Ummul-
Mukminin Saiyiditina ‘Aisyah R.A ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau segera menjawab bahawa: “Akhlak Rasulullah SAW itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran”.

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 21, hadis yang baru disebutkan (di atas) dan banyak lagi ayat serta hadis yang mengupas mengenai akhlak dan peribadi mulia Rasulullah SAW jelas menunjukkan bahawa Al-Quran adalah sebagai penjana keluarga bahagia, manakala Rasulullah SAW pula disahkan sebagai contoh yang mesti dikuti oleh seluruh manusia amnya dan umat Islam khasnya, jika benar-benar inginkan sebuah keluarga bahagia dalam erti-kata kebahagian yang hakiki.

KESIMPULAN

Keluarga yang terdiri dari sepasang suami isteri dan dihiasi oleh sepak terajang anak-anak adalah satu institusi yang perlu kepada pentadbiran yang betul yang boleh menjamin
kehidupan yang rukun, aman dan damai. Manakala suasana “Keluarga Bahagia” yang menjadi idaman semua manusia adalah matlamat yang ingin dicapai dengan apacara sekalipun. Cuma apa yang cuba dicari kadang-kadang begitu kabur apabila penilaian terhadap erti kebahagiaan itu sendiri menghadapi masalah akibat dari permasalahan yang dihadapi oleh manusia dari sudut ketiga-tiga elemen penting yang kita huraikan sebentar tadi.

Namun apa yang dapat kita titipkan melalui catatan yang serba ringkas ini dalam mendamBakan kehidupan yang bahagia dalam institusi keluarga ialah; kesediaan kita untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang baik dalam segala agenda hidup kita,

Apa yang perlu kita lakukan ialah mencuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, segala apa yang disuruh buatlah dengan kemampuan yang maksima, demikian pula apa yang dilarang hendaklah kita jauhi, hindari dan tinggalkan sama sekali dengan penuh rasa kesedaran dan keinsafan demi memperolehi keredaan Allah SWT.

Mempertingkatkan kualiti keislaman, keimann dan ketakwaan kita adalah diiktiraf sah sebagai anak kunci sebuah kebahagiaan yang hakiki. Oleh itu terpulanglah kepada kita sejauhmana ikhlasnya niat kita dan juga usaha upaya kita untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia mengikut kaca-mata Al-Quran yang merupakan “Kalamullah” dan berpandukan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi besar kita Muhammad SAW yang diiktiraf oleh Allah SWT yang Maha Pencipta, Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Adil ke atas sekelian makhluk ciptaanNya.

0 ulasan:

Catat Ulasan