Khamis, 4 Mac 2010

Mencari mawaddah dan rahmah dari sebuah 'akad - aku terima nikahnya

Perkahwinan merupakan satu sunnah dari baginda S.A.W yang disyariatkan kepada ummatnya sebagai satu jalan untuk menyempurnakan kehambaan kepada Allah S.W.T,kerana bersama penciptaan lelaki dan perempuan disertakan perasaan,keinginan dan saling memerlukan di antara satu sama lain. Bagi mengurus keperluan tersebut Allah Azzawajalla melalui Nabi utusanNya telah meletakkan satu sunnah iaitulah perkahwinan,supaya manusia tidak memilih jalan mengikut kehendak mereka sendiri dengan mengenepikan panduan terbaik dari Penciptanya yang menjamin kesejahteraan hidup mereka di dunia sehingga ke negeri akhirat.

Setelah selesai 'akad nikah,Islam telah menghalalkan apa yang ditegah sebelumnya,di situ juga junjungan mulia menunjukkan contoh terbaik di dalam melayarkan bahtera perkahwinan untuk ummatnya jejaki dan teladani,sabdanya yang bermaksud : “Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka bertaqwalah kepada Allah untuk menyempurnakan separuh yang berbaki” (Al-Hadith).

Justeru itu dalam menjejaki mawaddah di dalam sebuah perkahwinan yang dinamakan bait muslim taqwalah menjadi payung dalam melindungi sebuah perkahwinan bagi melangsungkan sebuah mawaddah lantas membenih keluar satu rahmah.

Ketika sepasang suami isteri sedang enak dibuai mawaddah awal pernikahan,jangan biarkan ianya terhakis tanpa penerapan nilai taqwa dalam hubungan,jangan biarkan usia perkahwinan memamahnya tatkala mata sudah tidak lagi menutupi dari menatapi perhiasan-perhiasan iblis,bilamana jiwa sudah mencari-cari santapan luar fitrah,menikmati hiburan ikhtilat lantas mengabaikan bidadari di sisi,ini semua virus-virus yang sedang menjangkiti sebuah pelayaran bait muslim yang jika tidak dianti viruskan dengan produk taqwa,ianya boleh membawa kepada bergegarnya arash hasil perceraian,rosaknya masyarakat akibat kecelaruan dan tiada lagi mawaddah dan rahmah,yang ada hanya musibah dan zulmah.

Penyelesaian dalam mencapai tujuan tersebut tidak susah untuk diungkap,cuma agak sukar untuk direalitikan.Kembali kepada tunjuk ajar Suami terulung dan Pemimpin terangung itulah jawapannya sebagaimana penegasannya yang bermaksud “Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya, dan aku adalah orang yang paling berbuat baik untuk keluargaku!”, memuhasabah kembali sejauh mana taat padaNya menatijahkan nikmat,mungkin di sana hanya sebuah taat tanpa sebarang penghayatan,mungkin juga sunyi dari keikhlasan dan amal yang kosong tanpa ilmu sehingga menyeleweng jauh dari ajaran.
Kembalikan taqwa,taati agama,amal berpaksikan ilmu dan syariat itulah kuncinya.
( ربنا هب لنا من أزوجنا وزرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما)

Read more...