Selasa, 11 Mei 2010

PEMAKANAN:Merancang Menu Sihat Untuk Kanak-kanak Sekolah



Pengenalan


Masa makan adalah masa untuk anak anda beristirehat bersama keluarga dan menikmati hidangan selepas sehari suntuk di sekolah. Ia adalah waktu yang sesuai untuk ibu bapa meluangkan masa dan berinteraksi dengan anak. Hidangan yang disediakan di rumah adalah lebih berkhasiat dan menjimatkan masa serta perbelanjaan jika ibu bapa bijak merancang menu. Merancang menu adalah mudah and tidak mengambil masa yang lama jika anda membuat persediaan awal dan teratur.

Mengapa perancangan menu sihat penting untuk kanak-kanak sekolah?

* Untuk membekalkan makanan dan snek yang sihat pada waktu yang bersesuaian sepanjang hari.
* Memastikan kepelbagaian dalam setiap sajian agar anak mendapat makanan yang seimbang.
* Untuk mengurangkan pilihan makanan berulang.
* Membuat perancangan awal bahan yang diperlukan bagi mengelakkan daripada membeli di saat akhir atau dalam keadaan yang tergesa-gesa.
* Untuk menjimatkan masa. Dengan merujuk kepada menu yang dirancang, anda boleh mengutamakan makanan yang boleh disedia awal.

Panduan am untuk merancang makanan sihat bersama keluarga

Adalah penting untuk merancang menu yang sihat dan digemari oleh kanak-kanak. Berikut adalah panduan untuk merancang menu untuk anak:

* Anda perlu rancangan bagi 3 menu hidangan utama dan 2 menu snek untuk sehari untuk memastikan anak mendapat makanan yang secukupnya. Rancang menu hidangan utama dan snek untuk jangka masa seminggu

* Menu hidangan utama dan snek perlu merangkumi makanan daripada setiap 5 kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia. Jika terdapat kumpulan makanan yang tidak dimasukkan dalam menu hidangan utama, ia boleh dimasukkan dalam menu snek. Sebagai contoh, buah dimasukkan dalam menu snek.

* Waktu makan juga perlu dirancang untuk mengambil kira waktu anak akan ke sekolah dan balik dari sekolah. Apabila hendak ke sekolah, berikan cukup masa untuk anak menghabiskan hidangan dan jangan tergesa-gesa. Lazimnya, anak pasti letih apabila pulang dari sekolah. Hidangkan makanan utama selepas anak berehat sebentar.

Tips merancang menu sihat untuk waktu makanan utama

* Pastikan hidangan utama terdiri daripada 5 kumpulan makanan dalam Piramid Makanan Malaysia.
* Pilih hidangan daripada produk bijirin penuh (contoh: campurkan beras perang dengan beras putih)
* Tambahkan buah-buahan dan sayur-sayuran dalam hidangan utama. (contoh : tomato dalam ayam masak merah)
* Tambahkan satu sajian makanan dari kumpulan ikan, ayam,daging atau telur dengan makanan alternatif seperti kacang panggang, kacang peas, dal atau tauhu. Contohnya, campurkan kacang peas dalam resepi ayam masak kicap atau campurkan tempe dalam sambal ikan bilis.

Tips merancang menu sihat untuk makanan snek

* Masukkan sekurang-kurangnya 2 kumpulan makanan yang berlainan dalam setiap sajian snek.
* Pilih snek berkhasiat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, roti bijirin penuh, susu, keju dan dadih.
* Kurangkan snek yang terlalu manis dan melekit seperti gula-gula yang boleh melekat pada gigi kanak-kanak yang boleh menyebabkan karies gigi.

Senarai semak plan perancangan menu sihat

Guna senarai semak berikut untuk memastikan menu yang anda rancang adalah lengkap:

* Adakah anak anda mendapat pelbagai jenis makanan untuk sarapan pagi, makan tengah hari dan makan malam setiap hari?
* Adakah dia mengambil makanan daripada setiap kumpulan makanan?
* Adakah dia meminum susu dan air kosong setiap hari?
* Adakah anda berusaha untuk menyediakan hidangan dengan cara memasak yang berbeza setiap hari?
* Adakah terdapat ulangan hidangan dan jenis makanan yang terlalu kerap?. Contohnya ayam goreng 5 kali seminggu.
* Adakah sajian anda tinggi nilai khasiatnya?

Read more...

Isnin, 3 Mei 2010

Al-Quran Dan Keluarga Bahagia


Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi kita SAW adalah contoh teladan yang baik untuk dijadikan contoh kepada ciri-ciri keluarga bahagia. Firman Allah SWT :

QS 33:21.
Kamu ada satu teladan yang baik pada rasul Allah bagi sesiapa yang mengharapkan Allah dan Hari Akhir, dan mengingati Allah dengan banyak.

Ayat tersebut menjelaskan bahawa mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan balasan yang baik di akhirat nanti disamping mereka tergolong dari kalangan mereka yang banyak
mengingati Allah, maka bagi mereka contoh ikutan yang terbaik ialah diri Rasulullah SAW. Ini jelas membawa makna bahawa sekiranya kita ingin menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini dengan penuh rasa kebahagian dan menikmati penghidupan di akhirat dengan kebahagian, maka kita hendaklah mencontohi diri Baginda SAW dalam apa jua bidang, tanpa berpilih-pilih dan cuba mencontohi yang mana kita rasa bersesuaian dengan diri kita sahaja.

Mempelajari, mengkaji seterusnya mengamalkan bagaimana Baginda menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini sebagai jambatan untuk menempuh penghidupan yang kekal abadi di
akhirat nanti. Maksudnya kebahagiaan di dunia ini berhubung kait dengan kebahagiaan di akhirat nanti. Ini sekaligus menyanggah pendapat mereka yang hanya mementingkan
kebahagiaan hidup di dunia semata-mata tanpa mengambil kira kebahagiaan hidup di akhirat. Demikian pula halnya pendapat yang hanya mengutamakan kebahagaiaan hidup di akhirat
semata-mata lalu memandang sepi kebahagiaan hidup di dunia ini.

Apabila seseorang itu mempunyai tahap, maqam atau martabat keislaman, keimanan dan ketaqwaan yang rendah, ia sudah tentu tidak dapat menerima konsep kebahagiaan yang
dijalani oleh Nabi SAW yang memperjuangkan hidup dalam taraf kemiskinan dari segi material. Tetapi mereka yang mempunyai tingkat keimanan dan ketakwaan yang tinggi, tidak akan menjadikan material sebagai kayu pengukur kepada makna kebahagiaan itu. Semakin tinggi tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang itu maka semakin jelas baginya bahawa
kebahagiaan yang hakiki itu adalah sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga Khulafaur Rasyidin, yang rata-rata melihat kebahagiaan itu berpaksikan keimanan dan
ketakwaan yang tinggi, atau dengan kata lain menilai kebahagiaan itu dengan rohani, jasmani dan akal yang sihat tanpa ada mengidap apa-apa penyakit.

Hanya mereka yang benar-benar sihat keseluruhan tiga aspek tadi sahaja yang merasa kebahagiaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu sebagai kebahagian yang hakiki. Al-
Quran pula mahu semua manusia amnya dan umat Islam khasnya memilih kehidupan berumah tangga yang bahagia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Ini jelas apabila Ummul-
Mukminin Saiyiditina ‘Aisyah R.A ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau segera menjawab bahawa: “Akhlak Rasulullah SAW itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran”.

Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 21, hadis yang baru disebutkan (di atas) dan banyak lagi ayat serta hadis yang mengupas mengenai akhlak dan peribadi mulia Rasulullah SAW jelas menunjukkan bahawa Al-Quran adalah sebagai penjana keluarga bahagia, manakala Rasulullah SAW pula disahkan sebagai contoh yang mesti dikuti oleh seluruh manusia amnya dan umat Islam khasnya, jika benar-benar inginkan sebuah keluarga bahagia dalam erti-kata kebahagian yang hakiki.

KESIMPULAN

Keluarga yang terdiri dari sepasang suami isteri dan dihiasi oleh sepak terajang anak-anak adalah satu institusi yang perlu kepada pentadbiran yang betul yang boleh menjamin
kehidupan yang rukun, aman dan damai. Manakala suasana “Keluarga Bahagia” yang menjadi idaman semua manusia adalah matlamat yang ingin dicapai dengan apacara sekalipun. Cuma apa yang cuba dicari kadang-kadang begitu kabur apabila penilaian terhadap erti kebahagiaan itu sendiri menghadapi masalah akibat dari permasalahan yang dihadapi oleh manusia dari sudut ketiga-tiga elemen penting yang kita huraikan sebentar tadi.

Namun apa yang dapat kita titipkan melalui catatan yang serba ringkas ini dalam mendamBakan kehidupan yang bahagia dalam institusi keluarga ialah; kesediaan kita untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang baik dalam segala agenda hidup kita,

Apa yang perlu kita lakukan ialah mencuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, segala apa yang disuruh buatlah dengan kemampuan yang maksima, demikian pula apa yang dilarang hendaklah kita jauhi, hindari dan tinggalkan sama sekali dengan penuh rasa kesedaran dan keinsafan demi memperolehi keredaan Allah SWT.

Mempertingkatkan kualiti keislaman, keimann dan ketakwaan kita adalah diiktiraf sah sebagai anak kunci sebuah kebahagiaan yang hakiki. Oleh itu terpulanglah kepada kita sejauhmana ikhlasnya niat kita dan juga usaha upaya kita untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia mengikut kaca-mata Al-Quran yang merupakan “Kalamullah” dan berpandukan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi besar kita Muhammad SAW yang diiktiraf oleh Allah SWT yang Maha Pencipta, Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Adil ke atas sekelian makhluk ciptaanNya.

Read more...

Khamis, 4 Mac 2010

Mencari mawaddah dan rahmah dari sebuah 'akad - aku terima nikahnya

Perkahwinan merupakan satu sunnah dari baginda S.A.W yang disyariatkan kepada ummatnya sebagai satu jalan untuk menyempurnakan kehambaan kepada Allah S.W.T,kerana bersama penciptaan lelaki dan perempuan disertakan perasaan,keinginan dan saling memerlukan di antara satu sama lain. Bagi mengurus keperluan tersebut Allah Azzawajalla melalui Nabi utusanNya telah meletakkan satu sunnah iaitulah perkahwinan,supaya manusia tidak memilih jalan mengikut kehendak mereka sendiri dengan mengenepikan panduan terbaik dari Penciptanya yang menjamin kesejahteraan hidup mereka di dunia sehingga ke negeri akhirat.

Setelah selesai 'akad nikah,Islam telah menghalalkan apa yang ditegah sebelumnya,di situ juga junjungan mulia menunjukkan contoh terbaik di dalam melayarkan bahtera perkahwinan untuk ummatnya jejaki dan teladani,sabdanya yang bermaksud : “Apabila seorang hamba itu berkahwin, maka sesungguhnya dia telah menyempurnakan separuh dari agamanya. Maka bertaqwalah kepada Allah untuk menyempurnakan separuh yang berbaki” (Al-Hadith).

Justeru itu dalam menjejaki mawaddah di dalam sebuah perkahwinan yang dinamakan bait muslim taqwalah menjadi payung dalam melindungi sebuah perkahwinan bagi melangsungkan sebuah mawaddah lantas membenih keluar satu rahmah.

Ketika sepasang suami isteri sedang enak dibuai mawaddah awal pernikahan,jangan biarkan ianya terhakis tanpa penerapan nilai taqwa dalam hubungan,jangan biarkan usia perkahwinan memamahnya tatkala mata sudah tidak lagi menutupi dari menatapi perhiasan-perhiasan iblis,bilamana jiwa sudah mencari-cari santapan luar fitrah,menikmati hiburan ikhtilat lantas mengabaikan bidadari di sisi,ini semua virus-virus yang sedang menjangkiti sebuah pelayaran bait muslim yang jika tidak dianti viruskan dengan produk taqwa,ianya boleh membawa kepada bergegarnya arash hasil perceraian,rosaknya masyarakat akibat kecelaruan dan tiada lagi mawaddah dan rahmah,yang ada hanya musibah dan zulmah.

Penyelesaian dalam mencapai tujuan tersebut tidak susah untuk diungkap,cuma agak sukar untuk direalitikan.Kembali kepada tunjuk ajar Suami terulung dan Pemimpin terangung itulah jawapannya sebagaimana penegasannya yang bermaksud “Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya, dan aku adalah orang yang paling berbuat baik untuk keluargaku!”, memuhasabah kembali sejauh mana taat padaNya menatijahkan nikmat,mungkin di sana hanya sebuah taat tanpa sebarang penghayatan,mungkin juga sunyi dari keikhlasan dan amal yang kosong tanpa ilmu sehingga menyeleweng jauh dari ajaran.
Kembalikan taqwa,taati agama,amal berpaksikan ilmu dan syariat itulah kuncinya.
( ربنا هب لنا من أزوجنا وزرياتنا قرة أعين واجعلنا للمتقين إماما)

Read more...

Ahad, 28 Februari 2010

Galakan serta hikmah disebalik perkahwinan

Galakan supaya berkahwin

ٍSesungguhnya Islam benar-benar menggalakkan perkahwinan dan mendesak supaya melakukannya kerana padanya terdapat kepentingan dan faedah-faedah yang memberi kebaikan yang banyak kepada individu serta masyarakat.

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : (( Dunia itu perhiasan,dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah )).

Dan Sabda Nabi S.A.W lagi yang bermaksud : (( Empat perkara yang merupakan sunnah para Rasul-rasul : Malu,berwangi-wangian,bersugi dan berkahwin )).

Hikmah pensyariatan perkahwinan

Sesungguhnya pada pensyariatan perkahwinan itu ada hikmah-hikmah yang pelbagai,dan faedah-faedah yang banyak,kita sebut sebahagian darinya :

1. Menyahut seruan fitrah yang telah difitrahkan Allah ke atasnya.
2. Melebar-luaskan masyarakat Islam dengan keturunan yang soleh dan pertumbuhan yang sopan.
3. Mewujudkan ketenangan jiwa dan kestabilan rohani.
4. Menjaga dari keruntuhan akhlak dan kerosakan.
5. Bersama-sama memelihara jenis manusia dan menjaga kesejahteraan.
6. Meluaskan daerah persaudaraan/hubungan kekeluargaan dan membina kelangsungan sikap bertolong-tolongan.

sumber : terjemahan dan ringkasan dari kitab fiqh manhaji,jilid ke dua.

Read more...

Sabtu, 16 Januari 2010

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Salam pembukaan,juga salam perkenalan buat warga azhariyun dan azhariyat.

Alhamdulillah syukur kehadhrat Allah di atas kurniaan masa,tenaga dan sebagainya membolehkan kami melangkah kehadapan dengan mewujudkan blog khas untuk Unit Bait Muslim yang berada di bawah Unit Mutazawwijin Iskandariah (UMI) ini.

Semoga dengan kehadiran kami ke alam maya ini sedikit sebanyak membantu menjayakan pembinaan baitul muslim dan berhasil mendapat balasan yang tak ternilai di sana nanti.

Sekian,

Ketua UBM UMI 2009/2010

Read more...